KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan meneliti keperluan bagi mewujudkan aplikasi MYRadio untuk pemuzik tempatan dalam masa terdekat.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat kementerian bersama Radio Komersial Malaysia (CRM).
“(CRM) memang mengharapkan supaya ada satu aplikasi yang khusus dapat dibangunkan dan saya melihat mungkin di bawah MYTV, sekiranya ada MYRadio, maka aplikasi tersebut mudah untuk dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran aplikasi penstriman MYTV Mana-Mana ke dalam sistem radio IHU Proton X70 di Quill City Mall, di sini, hari ini.
Difahamkan, pengguna Proton X70 kini boleh mengakses pelbagai kandungan di MYTV Mana-Mana dengan menggunakan sambungan internet di dalam kenderaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya cakna bahawa lagu-lagu dimainkan di radio atau aplikasi mempunyai aspek royalti yang perlu dibayar kepada pemuzik.
“Sekiranya aplikasi itu tidak membayar royalti kepada badan berkaitan, ini akan menimbulkan satu masalah terutama bagi pemuzik tempatan.
“Jadi saya lihat ada keperluan untuk kita meneliti aplikasi ini di pihak kementerian. Kita harap dalam masa yang tidak terlalu lama dapat dibangunkan aplikasi baharu iaitu MYRadio,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE