KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur berada di kedudukan kelapan daripada 49 bandar utama dunia yang menjadi pilihan untuk didiami dalam kalangan warga asing bertaraf nilai tinggi atau pegawai ekspatriat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, data tersebut dikeluarkan oleh Expat City ranking 2023.
“Apa tarikan kita? Pertama, kos sara hidup secara relatifnya adalah rendah untuk pegawai ekspatriat ini. Kedua, kestabilan politik, manakala ketiga ialah mereka melihat potensi kerancakan ekonomi.
“Yang keempat adalah kemahiran dalam kalangan rakan sekerja tempatan. Mereka mudah berkomunikasi kerana penguasaan bahasa dan faktor-faktor ini menyumbang kepada kedudukan Malaysia pada kedudukan kelapan tahun lepas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung jumlah dan peratusan warga asing bertaraf nilai tinggi yang berhijrah ke negara ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, terdapat tiga kategori pegawai ekspatriat atau istilah bahasanya ialah pegawai dagang disusun kategori mengikut tangga gaji.
“Yang pertama RM10,000 ke atas, seterusnya gaji RM5,000 hingga RM9,999 ke atas. Yang ketiga adalah kelompok gaji RM,3000 hingga RM4,999. Itu julat gaji kita klasifikasikan sebagai pegawai ekspatriat yang imigresen keluarkan pas.
“Sehingga 31 Oktober, kita ada 120,183 pegawai ekspatriat dengan lima negara tertinggi, ini semua kategori antaranya bidang perkhidmatan, bidang teknologi maklumat dan lain-lain,” katanya.
Katanya, seramai 27,460 ekspatriat warga China di negara ini, diikuti oleh India (23,131 orang), Filipina (9,302 orang), Jepun (8,739 orang) dan Indonesia (8,333 orang) dengan keseluruhan lima negara ini meliputi 64 peratus. – KOSMO! ONLINE