KUALA LUMPUR -Menggunakan kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) dilengkapi teknologi Base Transceiver Station (BTS) palsu bagi menyebarkan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk tujuan penipuan.
Tindakan empat lelaki warga tempatan berusia 39 hingga 46 tahun itu terbongkar selepas ditahan sepasukan polis sekitar Lembah Klang pada 19 November lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peranti BTS palsu mampu memintas BTS yang digunakan syarikat telekomunakasi.
Jelas beliau, pancaran frekuensi itu mampu dibuat dalam radius 500 meter hingga satu kilometer dari jarak BTS palsu diaktifkan.
“Modus operandi adalah sindiket akan lokasi tumpuan orang ramai yang kemudiannya secara automatik menyebarkan SMS palsu kepada nombor telefon individu di kawasan sekitar.
“SMS yang dihantar akan kelihatan seperti SMS tulen yang datangnya daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang sah sehingga mengelirukan mangsa.
“Mangsa kemudiannya akan diberikan pautan dan diminta mengisi beberapa butiran penting termasuk maklumat perbankan dan nombor One Time Password (OTP),” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.
Ramli berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang menerima SMS daripada sebuah syarikat telekomunikasi mendakwa mempunyai mata terkumpul untuk menebus barang.
Kata beliau, selepas mengisi maklumat perbankan melalui pautan yang diberikan sindiket, mangsa mendapati wang kira-kira RM1,500 di dalam akaun miliknya telah hilang.
“Antara barangan dirampas adalah dua kenderaan SUV, pelbagai peralatan teknologi seperti modem wifi, bateri, wayar penyambut dan sembilan unit telefon bimbit dipercayai digunakan sindiket tersebut,” katanya.
Menurut Ramli, siasatan pihaknya mendapati sindiket terbabit mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya 12 kes yang melibatkan nilai kerugian kira-kira RM116,271.
“Dengan penahanan ini, kita percaya dapat menyelamatkan kira-kira 32,000 pengguna harian telekomunikasi seluruh negara daripada ancaman penyebaran SMS palsu yang berpotensi mengakibatkan kerugian wang ringgit,” katanya.
Beliau berkata siasatan terhadap empat lelaki terbabit diteruskan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Sementara itu, Zulkarnain berkata sebelum ini pihaknya ada menerima laporan mengenai penggunaan teknologi BTS palsu dan ini merupakan kes kedua membabitkan penggunaan kenderaan dalam menyebarkan SMS palsu.
Beliau menegaskan, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk tidak memasukkan sebarang pautan dalam SMS berkuat kuasa pada 3 Mei lepas.
“Ramai pengguna tidak sedar sekiranya dapat SMS yang ada pautan (link), itu adalah palsu,” katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 236 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan 16(1)(b) Peraturan Peraturan Komunikasi dan Multimedia (PPKM) (Standard Teknik) 2000Peraturan 34(5)(c) PPKM (Standard) 2000.-KOSMO! ONLINE.