KUALA LUMPUR – Penipuan pelaburan yang diiklankan melalui media sosial terus meningkat meskipun pelbagai amaran telah diberikan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat Januari lalu, sebanyak 28.68 juta rakyat Malaysia menggunakan media sosial, bersamaan 83.1 peratus daripada populasi negara.
Katanya, ia menjadikan platform itu sasaran utama sindiket penipuan termasuk pelaburan.
“Laporan menunjukkan kes penipuan pelaburan melalui aplikasi TikTok meningkat 90.7 peratus sejak 2021 hingga Oktober lalu.
“Jumlah kes melonjak daripada 13 pada 2021 kepada 131 kes pada tahun ini. Nilai kerugian turut meningkat mendadak, daripada RM410,000 pada 2021 kepada RM7.25 juta pada 2023. Setakat Oktober lalu, kerugian sudah mencecah RM6.39 juta.” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurut Ramli, kajian mendapati golongan berusia 31 hingga 40 tahun menjadi mangsa utama (23 peratus), diikuti mereka berusia 21 hingga 30 tahun (21.4 peratus).
Tambah beliau, dari segi pekerjaan, pekerja swasta mencatat peratusan tertinggi sebagai mangsa, iaitu 54.2 peratus.
“Media sosial memberi kelebihan kepada penjenayah untuk menyembunyikan identiti mereka sambil memperdaya mangsa.
“Kecanggihan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), membolehkan sindiket mencipta iklan palsu menggunakan gambar dan video individu terkenal untuk mengaburi mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang iklan pelaburan melalui media sosial tanpa pengesahan sahih.
“Berhati-hatilah dengan tawaran yang terlalu bagus untuk dipercayai,” katanya. -KOSMO! ONLINE.