PETALING JAYA – Usahawan selebriti terkenal, Datuk Seri Vida, memberi bayangan bahawa tindakan tidak melunaskan hutang kepada sebuah syarikat kontraktor berjumlah lebih RM1 juta bukanlah dilakukan tanpa sebab.
Pemilik nama sebenar Hasmiza Othman, 53, itu memberikan respons ringkas selepas seorang pengguna media sosial menyatakan keyakinannya bahawa dia pasti mempunyai sebab tersendiri untuk tidak membayar hutang tersebut.
“Aku tidak rasa dia tidak mahu bayar,” katanya.
“Benar,” balas Vida.
Kenyataan ringkas tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengikutnya dalam media sosial.
Rata-rata netizen mengambil pendekatan bersangka baik terhadap usahawan itu, malah ada yang mendakwa mungkin berlaku isu dalaman yang menyebabkan pembayaran tergendala.
“Mungkin Datuk Vida sendiri tak bayar sebab kontraktor bermasalah, mana kita tahu,” komen seorang pengguna.
“Rasanya dia malas nak bayar, setakat RM1 juta, celah gigi dia sahaja, ada yang tidak kena tu,” tulis seorang netizen.
Terdahulu, empat buah kereta mewah milik Vida termasuk dua Toyota Vellfire, sebuah Toyota Grand Hiace dan BMW X7, telah disita di kediamannya di Meru, Ipoh.
Semua barangan di dalam rumah turut disenaraikan sebagai sebahagian daripada penyitaan tersebut.
Menurut laporan, penyitaan dilakukan susulan kegagalan Vida menjelaskan baki bayaran tertunggak sebanyak RM1,060,285 kepada syarikat kontraktor Ah Design Communication.
Difahamkan, hutang itu berkaitan dengan projek pembinaan yang berlangsung pada tahun 2018. – KOSMO! ONLINE