KUALA LUMPUR – Sebanyak 55 kes penyeludupan dadah ke penjara menggunakan dron dikesan sehingga kini, dengan paling serius melibatkan Penjara Tapah, serta diikuti oleh Penjara Alor Setar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua kes tersebut bagaimanapun berjaya dikesan sekali gus tidak berjaya dibolosi.
“Ada satu yang tak berlaku semasa (Ahli Parlimen) Larut (bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin), ada di tempat saya. Seludup dadah pakai dron, ini saja 55 kes.
“Paling serius di Penjara Tapah, kedua di Penjara Alor Setar. Tu paling serius ni, dia jatuhkan dadah pakai dron. Kita kena ada anti dron, kita ada pasukan penembak untuk musnahkan dron,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung prosedur operasi standard kerajaan dalam menghapuskan dadah yang dirampas selain langkah bagi menangani kes penyeludupan dadah di dalam pusat tahanan.
Saifuddin berkata, taktik penggunaan dron tersebut dipercayai susulan kawalan dan pemeriksaan ketat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Kita dapat kesan dan dia pun ada inovasi juga. Bila kita ketatkan pemeriksaan, dia hantar pakai dron. Buat masa sekarang, semua dapat kesan dan tak dapat bolos,” katanya. – KOSMO! ONLINE