JOHOR BAHRU – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dibawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian suami isteri di Pasir Gudang, di sini pertengahan bulan ini.
Tertuduh, S. Nageshvaran, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Farhana Mohd. Ishak.
Tertuduh yang memandu Perodua Alza didakwa berada di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Linda Mohd. A Aziz dan Mohamad Redzwan Mohd. Rudi.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 4.15 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pusat Bandar Pasir Gudang pada 16 November lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan perlu melapor diri ke Balai Polis Johor Jaya dua kali sebulan, lesen memandu digantung hingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah.-KOSMO! ONLINE