SEREMBAN – Seorang pemandu kereta maut selepas kenderaan yang dipandu merenpuh belakang sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak petrol di Kilometer (KM) 275.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Nilai, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan pada pukul lebih kurang 4.40 pagi itu melibatkan sebuah lori tangki jenis Mercedes yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 46 tahun dan kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kenderaan lori tangki sedang bergerak dari Melaka menuju ke Seri Kembangan.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang lalu melanggar bahagian belakang lori tangki tersebut.
“Akibat kemalangan, pemandu kereta yang bekerja sebagai penyelia tapak projek telah mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman badan dan maut di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berikutan itu, katanya, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359. – KOSMO! ONLINE