KOTA BELUD – Lelaki dilaporkan hilang sewaktu menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh kelmarin, ditemukan lemas tengah malam tadi oleh penduduk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun berkata, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Noordin Punjuh, 51, menggunakan teknik pencarian pada permukaan (surface searching) menggunakan bot.
“Pasukan operasi terdiri daripada bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan penduduk kampung.
“Pencarian di kawasan tebing sungai dan pencarian menggunakan bot serta dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilakukan dengan jarak keseluruhan lapan kilometer.
“Mangsa berjaya ditemukan oleh penduduk kampung pada pukul 12.56 tengah malam tadi dengan jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar rumah kira-kira pukul 11 pagi kelmarin untuk menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang sebelum tidak pulang ke rumah.- KOSMO! ONLINE