PETALING JAYA – Seronok berbuat baik, pelakon Ruhainies, meluahkan rasa gembira apabila ramai peminat sudah mula mengikuti misi berselawat sebanyak 1,000 kali sehari yang dilakukannya selama 40 hari.
Enggan kedekut ilmu, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, berkata, dia mahu orang ramai merasai perubahan seperti mana dialaminya selepas melakukan amalan tersebut.
“Alhamdulillah, seronoknya ramai yang sudah mula (berzikir). Ada yang dah buat 10 hari, lima hari, dua hari dan ada baru nak mula hari ini.
“Jom kita sama-sama rasa. Anis (panggilan Ruhainies) tak nak kedekut seorang-seorang. Nak kalian rasa apa Anis rasa,” katanya dalam Instagram Story.
Meskipun baru mengamalkan rutin tersebut selama 34 hari, pelakon drama Terjerat itu mengakui sudah merasai pelbagai nikmat namun memilih untuk tidak berkongsi secara terperinci mengenai perubahan yang dialaminya.
“Saya baru 34 hari, ada lagi enam hari lagi, doakan saya. Walaupun belum cukup 40 hari, saya boleh rasa perbezaannya dan banyak nikmat diterima.
“Saya tak perlu sebutkan (nikmat) disini, biarkan hanya saya dan Allah sahaja tahu,” dedahnya.
Bukan ingin menunjuk-nunjuk, Ruhainies tidak memaksa sesiapa untuk mengikuti amalan tersebut sebaliknya hanya berkongsi pengalaman peribadinya.
“Sudah tentu tiada paksaan pada sesiapa ya. Hanya yang ingin rasa perubahan itu dialu-alukan sebab janji Allah itu pasti.
“Anis mengajak siapa yang ingin sahaja, siapa yang buat Alhamdulillah dapatlah manfaatnya. Anis tak rugi apa-apa.
“Siapa buat dia dapat, siapa tak buat pun tak mengapa. Tak berdosa pun. Saya hanya gembira untuk berkongsi pengalaman saya,” tegasnya.
Sebelum ini, Ruhainies berkongsi dirinya kini sedang fokus dengan misi berselawat 1,000 kali sehari selama 40 hari.
Malah aktres berkenaan turut mengajak orang ramai terutama golongan wanita untuk sama-sama melakukan amalan tersebut. – KOSMO! ONLINE.