KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 36 orang susulan penutupan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok hari ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, lapan buah keluarga yang masih terjejas banjir ketika ini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Rantau Panjang.
Menurutnya, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor di Bachok yang sebelum ini menempatkan seramai 44 orang mangsa ditutup pada pukul 9 pagi tadi.
“Seramai 80 orang mangsa berada di dua PPS di dua daerah setakat pukul 7 pagi tadi. Kini, hanya tinggal 36 mangsa yang masih berlindung di sebuah PPS di Rantau Panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang semakin menurun, namun menunjukkan bacaan amaran.
Menurutnya, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat kembali kepada paras berjaga-jaga.
Tambahnya, sungai-sungai utama di Kelantan masih menunjukkan bacaan normal. – KOSMO! ONLINE