DUBAI – Sebuah kafe yang mengetengahkan hidangan mewah bercampur emas dibuka di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan menghidangkan menu termahalnya kepada pelanggan pertama, lapor laman berita Khaleej Times hari ini.
Kafe Boho dibuka di Menara Kewangan Emirates DIFC pada bulan lepas.
Menurut pengurusan kafe tersebut, seorang pelancong dari Eropah berkunjung ke premis itu pada Jumaat lalu dan menikmati hidangan mewahnya.
Pelanggan tersebut memesan kopi cenderamata emas, empat croissant emas dan aiskrim emas dengan bil keseluruhan berjumlah 6,600 dirham (RM8,000).
Butiran resit menyenaraikan kopi pada harga 4,761.90 dirham (RM5,790), manakala croissant dan aiskrim masing-masing dijual pada harga 1,142.86 dirham (RM1,400) dan 380.95 dirham (RM460).
Pemilik Kafe Boho, Sucheta Sharma berkata, premis itu dibuka bagi menawarkan sesuatu yang luar biasa untuk mereka yang mencari keseronokan.
Sejak pelancarannya, kafe itu telah menawarkan teh karak emas yang dijual pada harga 150 dirham (RM180) dan air emas yang berharga 300 dirham (RM370). – AGENSI