fbpx

Syarat tambahan lesen memandu warga emas perlu kajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di Hotel Sama-Sama Sepang, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam meletakkan apa-apa syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan warga emas sebelum ia diperkenalkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, bagaimanapun, pihaknya menerima baik cadangan bagi mengurangkan peningkatan kes kemalangan membabitkan golongan tersebut.

Namun, katanya, ia memerlukan penelitian lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita menerima baik cadangan laporan tersebut, tetapi ia perlu diteliti lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat oleh pihak Kementerian Pengangkutan.

“Jadi, apa-apa syarat tambahan ini kita sentiasa berhati-hati supaya tidak memberikan implikasi negatif apabila ada sesuatu syarat baharu dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.

Antara syarat yang boleh diusulkan adalah, warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, ketika ini, perundangan Malaysia hanya menetapkan had umur minimum untuk kelayakan memandu tanpa menetapkan had umur maksimum.

Bagaimanapun menurutnya, Seksyen 30 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mewajibkan pemandu memastikan diri mereka berada dalam keadaan sihat dan berupaya untuk memandu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI