fbpx

Sewa residensi simpan dadah hampir RM450,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno (dua kiri) menunjukkan barang rampasan bungkusan dadah jenis MDMA pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Modus operandi sebuah sindiket yang menjadikan residensi sebagai stor penyimpanan dadah bernilai hampir RM450,000 terbongkar dengan penahanan dua lelaki di Segambut, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, sindiket dipercayai mencampurkan dadah bersama serbuk minuman sebelum diedarkan ke sekitar Lembah Klang terutama pusat hiburan.

Menurutnya, dua suspek masing-masing berusia 29 dan 31 tahun ditahan menerusi serbuan di hadapan lif residensi berkenaan kira-kira pukul 6.45 petang, 18 November lalu.

“Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada serbuan kedua yang dilaksanakan di sebuah unit berlainan di residensi sama.

“Polis menjumpai sejumlah 1,982 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 101.85 kilogram (kg),” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, polis turut menjumpai beberapa jenis dadah selepas menyerbu dua lagi unit kediaman serta lima kenderaan di residensi sama.

“Hasil siasatan di premis, polis merampas 196 peket plastik mengandungi dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 9.942 kg, 450 biji pil erimin lima (0.124 kg), lima peket pil ekstasi (0.09 kg), lapan peket ketamin (0.242 kg) dan 45 biji pil yaba (0.04 kg).

“Pemeriksaan ke atas salah sebuah kereta jenis Volkswagen Passat menemui sejumlah 11 peket plastik berisi dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 0.542 kg,” ujarnya.

Ahmad Sukarno berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, kereta Perodua Myvi, Honda Civic dan Suzuki Swift dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM230,000.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek disambung reman selama enam bermula hari ini dan ke disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI