fbpx

Limpahan ikan lik petanda banjir besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk memasang pukat dan jaring untuk menangkap ikan lik (gambar kecil) di hulu Sungai Tembeling di Jerantut semalam.

JERANTUT – Kebanjiran ikan lik di Sungai Tembeling menjadi petanda buat penduduk kampung supaya bersiap sedia menghadapi banjir ekoran spesies itu hanya akan keluar ketika musim tengkujuh bermula.

Japrun Ali, 65, berkata, penduduk sentiasa menantikan musim tengkujuh kerana ikan lik akan mudik ke hulu Sungai Tembeling dari kawasan hilir melalui Sungai Pahang dan Jelai (Lipis) dalam jumlah yang banyak untuk bertelur.

Katanya, ketika itulah penduduk beramai-ramai akan turun ke Sungai Tembeling memasang jaring dan menangkap ikan lik.

“Ikan lik amat mudah ditangkap kerana spesies itu bermudik dalam kumpulan dan setiap kali jaring dipasang, puluhan mesti akan tersangkut.

“Ia menjadi aktiviti menyeronokkan apabila melihat dapat menangkap ikan lik. Bagi mereka yang memasang jaring berulang kali, sudah tentu memperoleh hasil lumayan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini semalam.

Ikan lik yang ditangkap di Sungai Tembeling.

Dakwaan Japrun ada benar­nya apabila dia memperoleh 80 kilogram ikan lik yang dijual pada harga RM10 sekilogram semalam.

“Selebihnya dibawa pulang untuk dimasak dengan campuran asam tempoyak untuk makan tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Jamizan Rashid, 45, turut mengakui kehadiran ikan lik di hulu Sungai Tembeling memberikan tanda banjir akan bermula.

“Biasanya, spesies itu akan mudik ke hulu sungai pada awal bulan Oktober hingga November sebelum paras air sungai naik.

“Orang kampung percaya ikan lik akan ‘menghempas’ (bertelur) ketika hanyut ikut arus (ke hilir) ketika banjir,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI