BANGKOK – Polis di wilayah Surin memberhentikan sebuah kereta yang dipandu laju selepas beberapa saksi melaporkan melihat mayat di atas bumbung kenderaan itu, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Dalam kejadian semalam, kereta jenis hatchback tersebut dipandu sejauh 30 kilometer dalam keadaan pemandunya tidak menyedari bahawa terdapat mayat di atas bumbung.
Pemandu tersebut juga memecut laju dan tidak mengendahkan arahan polis untuk memberhentikan kenderaannya.
Beberapa saksi menyatakan bahawa kenderaan tersebut sebelum itu melanggar mangsa yang sedang melintas jalan.
Pemandu terbabit tidak berhenti untuk memeriksa kemalangan itu, sebaliknya meneruskan pemanduan dengan mayat di atas bumbung.
Selepas ditahan, pemandu dikenali sebagai Teerafat Leerun, 56, berkata, lampu jalan yang malap menyebabkan sukar untuk dia melihat jalan dengan jelas.
Katanya lagi, dia mengesyaki ada melanggar seseorang tetapi tidak berhenti untuk mengesahkan perkara itu.
Tambah lelaki tersebut, dia tidak menyedari terdapat mayat di atas bumbung keretanya dan tidak mengetahui sejauh mana dia telah memandu.
Mengsa kemudian dikenal pasti sebagai lelaki berusia 46 tahun bernama Weeraphong Suksawaeng, manakala mayatnya diserahkan kepada keluarganya.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan mengenai sebarang dakwaan atau tindakan lanjut yang dikenakan ke atas Teeraphat. – AGENSI