fbpx

Latih Malaysia peluang seumur hidup – Jonassen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JONASSEN menggalas misi cukup besar bagi membantu Malaysia memenangi pingat emas pada Olimpik LA 2028. - M.FIRDAUS M.JOHARI

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad badminton perseorangan baharu negara, Kenneth Jonassen menganggap peluang untuk melatih skuad kebangsaan Malaysia hanya datang sekali dalam seumur hidup.

Selain itu, minat mendalam terhadap badminton Malaysia selain menerima panggilan telefon daripada Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky turut menjadi faktor beliau menyatakan persetujuan.

Jonassen berkata, ketika Rexy menghubunginya buat kali pertama sebulan selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan Denmark menyebabkan beliau mula memasang impian untuk melatih Malaysia.

“Saya sentiasa menjadi peminat badminton Malaysia dan bagaimana sukan dikendalikan di sini, jadi peluang untuk datang agak unik. Ia adalah panggilan pertama dari Rexy yang membuatkan semua ini berlaku.

“Ketika itu, fikiran saya sudah ada pilihan untuk datang ke sini. Saya juga percaya peluang ini hanya datang sekali seumur hidup dan saya tidak sabar untuk memulakan tugas,” katanya pada sidang akhbar di ABM, Bukit Kiara hari ini.

Sabtu lalu, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk V. Subramaniam mengumumkan pelantikan Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan negara dengan kontrak selama empat tahun bermula 4 Januari depan.

Sebagai rekod, jurulatih berusia 50 tahun itu merupakan individu bertanggungjawab mengemudi jaguh perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain menjadi juara dunia 2017 di Glasgow, Scotland.

Pada masa sama, beliau juga merupakan antara tulang belakang yang membantu skuad lelaki Denmark melakar sejarah ketika mereka menjuarai Piala Thomas 2016 di Kunshan, China.

Sementara itu, Jonassen sedar dengan sasaran utama bagi membantu Malaysia membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) dan sedia mencurahkan segala kepakaran untuk merealisasikan impian tersebut.

“Ia (emas Olimpik) adalah sasaran terbesar. Saya fikir empat tahun adalah jangka masa yang panjang dan kita perlu melangkah satu demi satu, jadi kita tunggu dan lihat dalam tempoh 2025, 2026 dan 2027 nanti.

“Jika kita mahu mencapai sasaran itu, kita memerlukan kerjasama serta usaha semua orang. Saya akan bekerja secara dekat dengan pemain-pemain serta rakan jurulatih yang lain bagi merealisasikan impian tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI