MUNICH – Bayern Munich memasang hasrat untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menjelang pertemuan menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Allianz Arena awal pagi esok.
Meskipun masih belum tewas dalam saingan Bundesliga, namun lain ceritanya buat Bayern pada kempen Liga Juara-Juara apabila menghuni tangga ke-17 liga selepas mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan.
Justeru, aksi menentang PSG dianggap sebagai peluang terbaik untuk mereka melonjakkan kedudukan memandangkan juara Ligue 1 itu turut berada dalam situasi tidak menentu apabila berada di kedudukan ke-25.
Jurulatih Bayern, Vincent Kompany mengakui sudah tidak sabar menantikan perlawanan tersebut kerana menganggap PSG sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Eropah dan sentiasa menjanjikan aksi sukar.
“Kami sentiasa menanti-nantikan setiap perlawanan menentang pasukan besar seperti PSG. Saya tahu selepas ini kami akan bertemu (Borussia) Dortmund juga tetapi fokus utama sekarang adalah aksi terdekat.
“Saya gembira kami menang sebelum ini kerana ia memberikan keyakinan untuk bertemu PSG nanti. Kemenangan itu boleh membantu kami dari segi persiapan sebelum melayan kunjungan PSG,” katanya.
Sementara itu, The Bavarians pastinya akan terus meletakkan sandaran terhadap penyerang, Harry Kane bagi merobek pintu gol PSG selepas pemain England itu meledak hatrik ketika menewaskan Augsburg 3-0 Sabtu lalu. – AGENSI