MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim berharap para peminat dapat bersabar dan memberi amaran bahawa para pemainnya mungkin akan mengambil masa yang lama untuk memahami falsafah dan gaya bola sepaknya.
United memulakan aksi menentang Ipswich Town di Portman Road awal pagi semalam dengan memberikan harapan tinggi apabila mendahului perlawanan dalam tempoh 90 saat hasil jaringan Marcus Rashford.
Bagaimanapun, mereka masih kekal dengan beberapa ‘tabiat’ buruk sebelum ini sehingga gawang mereka dibocori untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1 sekali gus gagal memberikan hadiah istimewa pada debut Amorim.
“Ia adalah liga yang sukar, para pemain saya terlalu banyak berfikir ketika bermain. Sebagai pemain, adakalanya anda perlu menggunakan naluri, bukan sahaja ketika bersama bola, tetapi posisi yang perlu anda berada ketika beraksi.
“Kami terlalu banyak kehilangan bola. Apabila anda mendahului dengan satu gol, anda perlu mengawal tempo permainan, kami tidak dapat melakukannya ketika ini, tetapi para pemain sudah mencubanya.
“Anda perlu menyimpan bola dan tahu momentum. Kami melakukannya, tetapi tidak pada masa yang tepat dan perkara itu yang kami perlu titik beratkan. Babak pertama kami sedikit takut, kami hanya sempat berlatih selama dua hari, sudah tentu ada sedikit kekeliruan,” katanya.
Dalam pada itu, Amorim memuji kecekapan yang dipamerkan oleh penjaga golnya, Andre Onana apabila menyelamatkan dua percubaan berbahaya Liam Delap yang dianggap sepatutnya sudah menerjah gawang.
“Saya fikir semua orang jelas mengenainya (kecekapan Onana), dia menyelamatkan dua percubaan berbahaya. Apa yang penting, dia banyak melakukan hantaran jauh dan pada saya dia memahami idea yang saya inginkan,” ujarnya. – AGENSI