PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) akan kekal menjadi antara peneraju dan watak utama kepada pentadbiran kerajaan walau apa jua gabungan politik yang disertainya.
Sehubungan itu, para ahli dan penyokong BN diminta tidak mempercayai fitnah dan momokan pihak lawan yang sentiasa mahu melihat BN jatuh.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, beliau menyatakan perkara itu semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional Negeri Perak 2024 semalam.
“Saya mengharapkan agar konvensyen kali ini menolak secara total segala adu domba pihak lawan yang seringkali cuba mengaburi pemikiran ahli dan para penyokong BN dengan pelbagai tohmahan.
“Dapatkan penjelasan daripada kepimpinan jika berlaku sebarang kemusykilan dan sudah pasti setiap tindakan diambil kepimpinan atasan parti untuk kepentingan parti, rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Zambry berkata, beliau turut menyeru seluruh ahli dan penyokong BN mengekalkan perpaduan dan kerjasama erat antara ahli di pelbagai peringkat.
Jelas beliau, ia sangat penting untuk memastikan sokongan dan semangat kebersamaan dalam BN yang dipertahankan selama 50 tahun akan kekal utuh.
“Semoga BN akan terus aman, makmur dan menjadi penggerak mensejahterakan Malaysia menjadi sebuah negara hebat di rantau ASEAN dan seluruh dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE