SHAH ALAM – Kegiatan seorang mekanik bersama kekasih gelapnya meraih pendapatan sehingga RM140,000 untuk menyeludup syabu ke Indonesia sejak tiga bulan lalu terbongkar selepas diberkas di sebuah rumah tumpangan di Sekinchan, Sabak Bernam baru-baru ini.
Tangkapan ke atas pasangan berusia 31 dan 28 tahun itu dilakukan pada pukul 5 petang, 21 November lalu selain merampas 94.72 kilogram (kg) bernilai RM3.3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, suspek mendapatkan bekalan syabu dari negara di utara Semenanjung dengan membawa masuk bahan terlarang tersebut melalui jalan darat.
Dadah itu kemudiannya diseludup keluar ke Indonesia menggunakan jalan laut. Suspek lelaki bertindak sebagai penghantar dan menerima upah sehingga RM140,000 sekiranya berjaya membuat penghantaran ke Indonesia.
“Semakan mendapati suspek lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak memiliki tujuh rekod dengan lima daripadanya berkaitan dadah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau memberitahu, suspek wanita yang merupakan warga Indonesia tidak bekerja dan masih bujang. Ujian saringan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif methamphetamine. – KOSMO! ONLINE