SHAH ALAM – Kata-kata nasihat pempengaruh terkenal, Khairul Aming menjadi sumber inspirasi kepada penyanyi rap, Bunga Isme untuk berjaya dalam pelajaran.
Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari, 24, memaklumkan antara nasihat tersebut agar menjadi pempengaruh yang bijak sekiranya ingin berada dalam lapangan tersebut.
Katanya, seseorang itu juga harus mengetahui niatnya dalam menyambung pelajaran agar apa yang dipelajari dapat diamalkan dan memberikan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
“Saya sangat menyokong kepada rakan-rakan artis kalau hendak sambung belajar dan umur itu bukan penentu. Kita boleh belajar sampai ke tua.
“Kita kena tahu apakah cara dan visi. Kalau semata-mata hendak sijil sahaja susah juga, sebab kita tidak akan mengamalkan perkara yang pelajari,” katanya.
Terdahulu, dia menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) di Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-100 pada Sidang ke 19 di UiTM Shah Alam.
Bunga mengakui amat teruja menerima skrol tersebut kerana telah lama menantikan momen terindah untuk meraikan konvokesyen bersama rakan-rakannya. – KOSMO! ONLINE