KOTA BHARU – Pelajar warganegara Malaysia yang tinggal di Thailand berisiko menjadi keldai dadah semasa mereka menggunakan pangkalan haram dengan merentas Sungai Golok untuk ke sekolah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, beliau bimbang remaja tersebut dipergunakan oleh sindiket pengedaran dadah untuk menyeludup masuk barangan terlarang itu ke negara ini.
Menurutnya, sehubungan itu, larangan merentas sempadan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini dilihat mampu mengelakkan kegiatan penyeludupan dadah terus berluasa.
“Saya bimbang pelajar-pelajar ini digunakan oleh sindiket-sindiket untuk membawa masuk dadah. Setakat ini, kita tidak membuat pemeriksaan lagi terhadap beg sekolah pelajar yang melalui pangkalan haram.
“Kita akan melaksanakan (pemeriksaan beg sekolah) selepas ini apabila pelajar melalui laluan yang diwartakan iaitu Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk ke sekolah bermula 1 Disember,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini terpakai untuk semua pihak termasuk penduduk di Rantau Panjang dan pelajar sekolah.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak berkata, mekanisme mengenai pelaksanaan perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand dan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah. – KOSMO! ONLINE