fbpx

Sepak mula Liga M kekal 26 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN menjelaskan bahawa perancangan Liga M kekal buat masa ini pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco FAM ke-12 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

PENGANJURAN Liga Malaysia (Liga M) masih lagi mengikut perancangan asal dengan sepak mula kekal dilangsungkan pada 26 Februari depan, namun tertakluk dengan arahan baharu yang mungkin dilakukan oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui, pihaknya sudah merangka pelan alternatif jika ‘tragedi’ penangguhan Liga M seperti tahun lepas berulang.

Hamidin berkata, badan induk bola sepak negara itu kekal positif dan enggan menekan butang panik, namun menyeru agar semua pasukan yang bertan­ding mengikuti setiap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Buat masa ini, perancangan yang diatur oleh MFL iaitu sepak mula Liga M bermula 26 Februa­ri adalah kekal memandangkan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini hanya untuk tempoh dua minggu.

“Namun, kami tetap mempunyai pilihan alternatif jika situasi tidak diinginkan berlaku dan persediaan ini sudah dirangka lebih awal memandangkan apa yang terjadi dalam saingan Liga M musim lepas.

“Apa yang penting, kita semua perlu doakan agar kes positif Covid-19 akan menurun dan vaksin akan segera diedarkan untuk memberi manfaat seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco FAM ke-12 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Mengulas lanjut, Hamidin turut menyeru agar semua pasukan patuh serta mengikuti SOP yang telah ditetapkan kerajaan dengan tidak melakukan sesi latihan pramusim kerana PKP dilaksanakan berkuat kuasa hari ini.

“Semua pasukan harus mengikuti setiap SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan dengan menangguhkan terlebih dahulu latihan pramusim yang dirancang sebelum ini.

“Apa yang pasti, saya percaya ia tidak memberikan kesan memandangkan tarikh tamat PKP adalah 26 Januari ini dan pasukan masih mempunyai baki satu bulan untuk melakukan persiapan,” katanya.

Musim lalu, MFL dan FAM terpaksa menangguhkan saingan Liga M untuk tempoh lebih lima bulan selepas kerajaan melaksanakan PKP buat kali pertama pada Mac tahun lepas selain membatalkan kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI