PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri petang ini.
Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 6 petang itu melibatkan seluruh kawasan di Pulau Pinang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Labuan.
“Amaran ribut petir juga melibatkan Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang, Selama dan Kuala Kangsar.
“Di Selangor pula, amaran ribut petir melibatkan Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, manakala di Sarawak di Sibu, Bintulu (Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang,” katanya.
Dalam pada itu, Sabah turut menerima amaran sama di Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Tawau (Lahad Datu).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE