fbpx

Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak menggunakan dana syarikat swasta untuk lawatan rasminya ke luar negara.

Anwar berkata, kerajaan menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta dan ia melibatkan wang kerajaan sepenuhnya.

Jelasnya, baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara terbabit untuk tujuan pelaburan atau usaha sama dan membayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.

“Jika guna jet eksekutif kerajaan, kos perlu ditanggung kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk kerajaan hanya RM1.6 juta.

“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah bahawa tindakan Perdana Menteri menggunakan dana syarikat swasta yang mengikutinya ke luar negara akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat terbabit yang akan memohon balasan.

Pushpan dipetik berkata, walaupun pertimbangan kewangan mungkin menjadi faktor utama keputusan itu, namun kerajaan juga seharusnya mengambil kira kemungkinan terjadinya perselisihan antara kepentingan kerajaan dan swasta.

Ujar beliau, kerajaan mestilah sentiasa berwaspada dalam memastikan tidak terhutang budi kepada pihak-pihak korporat dan undang-undang pembiayaan politik mesti digubal bagi mengawal penyaluran kewangan dalam sistem politik negara.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi Anwar ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil dipetik menjelaskan, kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta daripada RM6.162 juta kos penerbangan khas Perdana Menteri ke lima negara.

Menurut Fahmi, kos yang ditanggung kerajaan itu adalah bersamaan 27 peratus manakala bakinya 73 peratus atau RM4.5 juta dibayar oleh delegasi perniagaan yang menyertai lawatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI