SETIU – Tiga beranak yang perjalanan pulang dari majlis konvokesyen maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Sungai Lerek di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu meragut nyawa Kamarudin Ibrahim, 55, isterinya, Maimunah Mat Isa, 54, dan anak kedua mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30, akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi, 21, yang merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) pula cedera parah pada bahagian kaki dan tangan.
Difahamkan sebelum kejadian, mereka menghadiri majlis konvokesyen Nur Azwa Shamimi yang berlangsung di Putrajaya pada semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, tiga beranak itu bersama dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kota Bahru, Kelantan.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan Toyota Hilux yang dikatakan tiba-tiba hilang kawalan.
“Kenderaan Toyota Hilux tersebut dinaiki dua penjual sayur yang dikatakan dalam perjalanan membawa bekalan jualan ke Pasar Gong Pauh, Kuala Terengganu dari Tunjong, Kota Bahru,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE