fbpx

Keletihan pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR IDAYU BOSRO
WAKIL KOSMO! PUTRAJAYA

Ketika artikel ini ditulis, Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan Isnin lalu sudah dikuatkuasakan melibatkan lima negeri berstatus zon merah iaitu Selangor, Sabah, Johor, Melaka dan Pulau Pinang selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

Sehubungan itu, rakyat diminta duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 sekali gus melandaikan lekuk jangkitan.

Memahami epidemiologi sesuatu pandemik, tempoh PKP mustahil akan berakhir dalam masa yang singkat. Tempoh dua minggu pertama pelaksanaan PKP belum tentu mencukupi untuk memutuskan rantaian wabak yang sudah berada dalam komuniti dan bermutasi.

Bagi petugas barisan hadapan yang berada dalam sektor kesihatan, pengumuman fasa pertama PKP dianggap hanya titik permulaan untuk bersiap siaga bagi tempoh antara empat hingga enam minggu lagi.

Ini kerana kes yang diumumkan hari ini mungkin mula dijangkiti 14 hari lalu berikutan tempoh inkubasi virus adalah antara 10 hingga 14 hari.

Pakar epidemiologi daripada Universiti Malaya, Datuk Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud sebelum ini juga pernah menyatakan bahawa tempoh PKP sekurang-kurangnya enam minggu diperlukan untuk menurunkan angka kes harian secara berterusan.

“Jika kita mahu PKP berkesan, ia perlu dilaksanakan sekurang-kurang enam hingga 12 minggu sebelum kita boleh melihat kes-kes harian menurun ke angka yang lebih kecil dan mampu diurus oleh sistem kesihatan,” katanya.

Dalam mengharungi tempoh PKP itu, pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) sekali lagi dituntut daripada segenap lapisan masyarakat di negara ini untuk sama-sama mengekang penularan virus Co­vid-19.

Cabaran kali ini mungkin berbeza berikutan ada dalam kala­ngan masyarakat yang dikhuatiri mengalami keletihan pandemik (pandemic fatigue) selepas hampir setahun ‘berperang’ dengan virus serta menyesuaikan diri dengan amalan hidup norma baharu.

Bahkan perkara itu turut diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan menyifatkan keletihan itu membuatkan manusia bersikap acuh tidak acuh serta hilang motivasi dalam berdepan situasi pandemik.

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr. ­Rosmawati Mohamed berkata, walaupun kesedaran berhubung nasihat berkaitan Covid-19 semakin tinggi, pematuhan terhadap SOP akan berubah-ubah apabila keletihan pandemik semakin meningkat.

Beliau berkata, bagi meme­rangi keletihan pandemik, WHO menyarankan SOP yang bersifat telus serta konsisten dan SOP tersebut tidak boleh sentiasa berubah mengikut masa.

“Rakyat perlu memahami penaakulan saintifik di sebalik SOP dan PKP itu sendiri. Tambahan pula, setiap tindakan mesti selaras dengan mesej yang disampaikan.

“Sebarang kekeliruan seperti ketidakpastian SOP harus dita­ngani dengan memberikan cadangan berdasarkan bukti sains yang jelas sebelum hukuman terhadap ketidakpatuhan dilaksanakan,” katanya.

Bahkan banyak kali diulang bahawa kepatuhan SOP yang penuh dan menyeluruh adalah ‘vaksin’ terbaik dalam meme­rangi Covid-19

“Tempoh menunggu sesuatu vaksin yang mampu menghapuskan virus ini masih panjang, namun dengan kerjasama semua lapisan masyarakat, kita mampu memutuskan rangkaian jangkitan wabak ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pe­mimpin dan ahli politik perlu bertanggungjawab untuk me­nunjuk teladan yang baik dan selalu mematuhi garis panduan yang ­disyorkan.

“Ini akan mengukuhkan kepercayaan terhadap nasihat kerajaan dan memastikan pematuhan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI