PETALING JAYA – Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) menaja pakej umrah percuma kepada 200 anak muda yang menunaikan solat berjemaah selama sebulan di Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala dekat Kota Bharu, Kelantan.
Pengerusi Masjid Imanul Fa’izin, Leftenan Kolenal Bersekutu Pertahanan Awam, Nik Saiful Adli Burhan berkata, Program Umrah Percuma Anak Kelantan ini bertujuan menarik minat golongan muda untuk mengimarahkan masjid dan mendirikan solat secara berjemaah.
“Syarat penyertaan adalah mereka yang berumur 20 hingga 35 tahun, belum berkahwin dan belum pernah sampai ke Tanah Suci Mekah.
“Syarat lain juga mereka perlu solat subuh, maghrib dan isyak berjemaah di masjid selama 30 hari bermula 10 November lalu. Mereka ini juga kena ‘thumb print’ sebagai bukti kehadiran,” katanya.
Katanya, siri pertama melibatkan 78 orang anak muda dan kesemua mereka bakal mengerjakan umrah pada awal Januari 2025.
“Selepas berjaya, kita akan buka lagi permohonan untuk anak muda lain dan membuat tapisan sehingga mencapai jumlah keseluruhan seramai 200 orang,” jelasnya.
Sementara itu, seorang peserta terpilih, Nik Amir Khairi Kamarul Balkiah berkata, dia sangat bersyukur dan berbesar hati kerana ditaja sepenuhnya untuk mengerjakan umrah.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak masjid dan Andalusia Travel kerana memberi peluang kepada saya untuk mengerjakan ibadah umrah nanti.
“Saya percaya dalam tempoh 30 hari ini, banyak manfaat diperolehi terutama istiqamah menunaikan solat berjemaah di masjid. Program 30 hari ini berjaya melatih diri kita untuk menghadapi suasana ketika menunaikan haji dan umrah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE