fbpx

Gajah buat onar musnahkan kebun penduduk Lojing ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seekor gajah jantan yang ditangkap di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang pada Jumaat lalu. - Foto IHSAN PERHILITAN

GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan yang memusnahkan tanaman penduduk di Tanah Tinggi Lojing di sini pada Jumaat lalu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan pada awal bulan lalu mengenai gajah liar terbabit yang berkeliaran dan memusnahkan kebun di Lojing.

Katanya, bertindak atas aduan terbabit, pihak Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan menjalankan pemantauan sebelum menangkap seekor gajah liar jantan pada Jumaat lalu di kawasan kebun berhampiran Hentian Eco Rehat dan Rawat (R&R) Lojing.

“Tangkapan gajah liar itu melegakan penduduk di kawasan tersebut. Tindakan itu dapat mengelakkan kerugian berterusan yang ditanggung penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik gajah liar berkenaan.

“Operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan
bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohamad Hafid memberitahu, operasi pemindahan gajah itu turut melibatkan kakitangan Jabatan Perhilitan Kelantan.

Katanya, tangkapan dan pemindahan gajah liar bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan terletak berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Lojing dan HSK Sungai Brooke. Populasi gajah liar yang berada di kedua-dua HSK itu dianggarkan lebih daripada 30 ekor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI