PETALING JAYA – Perasmian Bin Zayed International (M) Berhad di Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Jelas beliau, lembaran baharu dalam hubungan strategik itu dapat menyokong Malaysia dalam menjadi hab perniagaan utama di Asia Tenggara.
“Dengan kepakaran dan inovasi dibawa Bin Zayed International khususnya dalam bidang hartanah, teknologi dan kesihatan, saya yakin kerjasama ini akan menggalakkan pemindahan teknologi, pembangunan mampan dan memperkasakan industri tempatan.
“Sekali gus dapat mencipta peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat Malaysia. Inilah langkah ke hadapan yang membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur antarabangsa.
“Saya komited untuk memastikan setiap peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya demi kebaikan rakyat dan negara kita. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Media pada 22 November lalu melaporkan, syarikat peneraju pelaburan global, Bin Zayed International (BZI) melancarkan pejabat terbaharu di Tun Razak Exchange menandakan penglibatan sulungnya di Asia Tenggara.
Syarikat itu akan menjadi pangkalan utama operasi firma di rantau ini dan meneroka peluang pelaburan lebih luas sambil menggiatkan pembangunan.
BZI juga sebelum ini mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek Langkasuka di Langkawi, Kedah bernilai RM40 bilion.
Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy dipetik berkata, sejak 2022 konglomerat pelaburan global itu sudah memutuskan untuk menarik diri dan memberi tumpuan kepada peluang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar.
Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Syarikat BZI, Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan.
“Sepanjang perbincangan, saya turut berkongsi pengalaman semasa kunjungan saya ke UAE baru-baru ini dan meneliti peluang pelaburan yang mampu memberi manfaat bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE