KOTA BHARU – Seorang peniaga tidak menyangka kedai nasi lemaknya di Kampung Sireh di sini terbakar selepas hanya 30 minit dia menutup premisnya awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi semasa Khairul Hafizi Mohamad, 25, yang sudah pulang ke rumah sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon yang memaklumkan premisnya terbakar.
Khairul Hafizi berkata, pemilik premis bersebelahan yang terdengar letupan kecil dan kepulan asap keluar dari bahagian depan kedai terus menghubunginya memaklumkan kejadian itu.
Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Kutan, Tumpat dekat sini terus bergegas keluar ke premis tersebut yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumahnya.
“Saya dapati pasukan bomba sedang memadam kebakaran dan api ketika itu sudah padam. Kebakaran hanya melibatkan struktur premis dan sebahagian barang dapat diselamatkan.
“Kejadian itu menyebabkan saya dan ibu mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila hanya sebahagian barangan berniaga dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Harizu Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 3.04 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal 20 minit kemudian dan api tidak sempat merebak ke premis bersebelahan. Operasi selesai kira-kira 30 minit kemudian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE