SHAH ALAM – Siasatan kes serangan asid melibatkan pemain Selangor FC, Faisal Halim diambil alih pasukan khas daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Kamri Kamaruddin selepas Pejabat Dewan Negeri Selangor menerima maklum balas mengenai Usul 17(1) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor yang dibawa Abbas Salimmi Che Adzmi@azmi (PH-Seri Serdang).
Menurut beliau, maklum balas itu diberikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil serius berhubung penyiasatan kes ini dengan siasatan kes diambil alih oleh pasukan khas USJT JSJ Bukit Aman.
“(Pasukan itu) mempunyai kepakaran dan peralatan bantuan yang lebih baik bagi mengenal pasti dan menangkap suspek yang terlibat,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyatakan siasatan kes Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey tidak ditutup, sebaliknya pihaknya masih menunggu perkembangan siasatan.
Setakat ini polis sudah merakam keterangan 23 individu dan menahan tiga suspek bagi membantu siasatan.
Hasil analisis forensik terhadap telefon bimbit ketiga-tiga suspek mendapati tiada perbualan yang membuktikan mereka terlibat dalam kes itu.
Pihak JSJ turut melakukan pemeriksaan terhadap akaun bank suspek, namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah ditemukan.
Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi memaklumkan kerajaan negeri masih menunggu laporan siasatan kes melibatkan Faisal.
Dalam kejadian pada Mei lalu, Faisal cedera parah selepas badan dan mukanya disimbah asid sebelum terjatuh.
Suspek yang memakai baju berwarna hitam dan bertopi menunggu di belakang kenderaan sambil memerhatikan Faisal yang ketika itu menuju ke kenderaan di sebuah pusat beli-belah.
Suspek kemudian bergegas ke arah Faisal lalu menyimbah asid sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal. – KOSMO! ONLINE