KUALA TERENGGANU – Platform media sosial mengundang pelbagai tawaran pekerjaan dan perniagaan buat sesiapa yang pandai mengambil peluang, bukan sahaja untuk menjadi popular tetapi menyebarkan ilmu-ilmu berguna kepada masyarakat.
Salah seorang usahawan yang pandai ‘mencuri’ peluang keemasan tersebut adalah Abdullah Abdol Razak yang lebih dikenali sebagai Ustaz Lah yang kini memiliki hampir satu juta pengikut dan lebih menarik berjaya menarik perhatian lebih daripada 15,000 tontonan setiap kali bersiaran.
Anak kelahiran Felda yang berasal dari Terengganu ini memiliki jiwa besar dalam pembelajarannya yang bermula daripada sekolah pondok, pengajian Tahfiz dan berjaya melanjutkan pelajarannya ke Jordan hingga meneruskan usahanya untuk memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Menyedari bakatnya yang menjadi seorang pempengaruh, Abdullah, 38, tidak memandang ke belakang lagi terus aktif melangkah untuk menawarkan khidmat berceramah melalui platform media sosial popular, TikTok setiap hari dengan pelbagai bahan ilmu agama bersesuaian untuk semua peringkat umur.
Baginya, pembelajaran adalah penting meskipun menyedari dirinya begitu sibuk 24 jam setiap hari melalui aktiviti hariannya, namun beliau tetap bersemangat untuk belajar sehingga berjaya ke peringkat tertinggi itu.
“Belajar akan membolehkan seseorang itu mempelajari banyak perkara baharu dan setinggi mana kita memperoleh ilmu di dada akan mendorong kita menjadi rendah diri walau di mana sahaja kita berada.
“Kita perlu ubah diri sendiri untuk perbaiki diri agar lebih baik berbanding sebelumnya dan belajar bukan untuk bertanding dengan sesiapa untuk berlumba belajar sehingga mendapat PhD tetapi kita perlu belajar adalah untuk bersaing dengan diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis konvokesyen UniSZA di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Abdullah berkata, menyedari kerjaya sebagai pempengaruh adalah bermusim dan hanya mungkin bertahan sehingga tiga hingga lima tahun akan datang serta tidak menjanjikan pulangan untuk jangka panjang, usahawan ini telah menubuhkan beberapa syarikat untuk menjana hasil pulangan jangka panjang.
“Ada produk yang telah dilancarkan di pasaran dan kami juga telah melaksanakan kerjasama strategik dengan syarikat korporat untuk memperoleh kontrak yang berdaya saing,” ujarnya.
Antara syarikat di bawah pemilikannya adalah Heblun Sdn Bhd., UstazLah Publisher dan juga UstazLah Shop yang kini berjaya memasarkan produk dan perkhidmatan kepada kumpulan pelanggannya di seluruh negara.
Selain menguasai pasaran dalam segmen perniagaan tersendiri, syarikat tersebut telah menawarkan peluang pekerjaan kepada ramai anak muda yang meminati bidang tersebut, membangunkan modal insan selain mencari pelapis untuk meneruskan kelangsungan untuk pengembangan masa depan.
Kepuasannya kini bukan sahaja dapat menyebarkan ilmu agama melalui platform media sosial tapi dapat juga berkongsi rezeki dengan kakitangannya malah juga bersama para pelanggan.
Lebih menarik jelas beliau, pulangan lumayan yang diperolehnya setiap kali mencatat tontonan tinggi di platform media sosial telah diperuntukkan juga kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan yang memerlukan.
Abdullah berpendapat, menjadi pempengaruh juga adalah salah satu daripada kerjaya yang memperoleh rezeki yang halal tetapi apa yang penting kini adalah penyebaran ilmu yang berguna kepada masyarakat.
“Apa yang saya risaukan adalah sama ada kita buat dua keputusan iaitu mampu memberi kebaikan kepada orang lain atau memberi perkara yang memudaratkan.
“Jika tanpa ilmu, kita terdorong untuk membuat salah. Sebab itu sehingga hari ini setiap hari, saya masih belajar dan terus belajar untuk mendapatkan ilmu yang berguna sekali gus berkongsi dengan masyarakat,” jelasnya sambil menambah, beliau memilih universiti tersebut untuk menamatkan pengajian PhD kerana UniSZA dikenali kerana memiliki fakulti pengajian Islam yang terbaik di negara ini.
Beliau mengucap syukur dan menghargai segala usaha dan bimbingan daripada Prof Madya Wan Khairul Firdaus, Murabbi Dato Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin selain guru guru, ibunya, Maimunah Jamaludin serta ahli keluarga selain kumpulan termasuk sahabat dan pengikutnya yang menyokong beliau selama ini.
Mengulas mengenai kejayaan Abdullah salah seorang pempengaruh yang berjaya menaikkan nama UniSZA, Naib Canselor universiti berkenaan, Prof Datuk Dr. Fadzli Adam menyarankan lebih pempengaruh atau pencipta kandungan mengambil peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kerana kerjaya tersebut dianggap sebagai ikon masyarakat yang menjadi ikutan pada masa kini.
Menurut beliau, Abdullah berjaya membuktikan dirinya menamatkan pengajian dengan baik walaupun berdepan dengan cabaran semasa pandemik lalu.
Ketika itu, mod pengajian dilaksanakan melalui online dan hanya bertemu sesekali sahaja bersemuka dengan pensyarah.
“Ini adalah satu contoh yang boleh dijadikan pedoman dan memberi motivasi kepada masyarakat bukan sahaja di kalangan pempengaruh atau pencipta kandungan, mereka boleh menimba ilmu di mana sahaja mereka berada,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE