fbpx

The Swatch Group Malaysia dapat balik jam tangan pelangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jam tangan Koleksi Pride yang menjadi kontroversi pada tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan 172 jam tangan Koleksi Pride yang dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dirampas tahun lalu, dikembalikan kepada The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd.

Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas membenarkan perintah certiorari dengan membatalkan notis penyitaan yang dikemukakan syarikat tersebut selain mendapati rampasan kesemua jam itu adalah tidak sah.

Justeru dengan keputusan itu, mahkamah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mengembalikan kesemua jam tangan itu kepada syarikat pengimport dan penjual tangan tersebut dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

“Namun sekiranya terdapat kerosakan pada jam, pihak-pihak boleh membuat permohonan lain bagi menuntut ganti rugi,” kata Armajeet.

Semasa prosiding hari ini, peguam Nizam Bashir mewakili syarikat tersebut, manakala pihak kerajaan diwakili oleh Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali.

Pada 24 Jun 2023, The Swatch Group (Malaysia) memfailkan permohonan semakan kehakiman atas alasan rampasan 172 jam tangan itu tidak sah kerana barangan itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Pemohon menamakan Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Menerusi permohonan itu, syarikat berkenaan menyatakan, istilah penerbitan merujuk kepada dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.

Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar. Pemohon mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.

Katanya, jam tangan dari reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.

Sehubungan itu, The Swatch Group (Malaysia) memohon satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Pada 13 dan 14 Mei 2023, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas 172 jam jam tangan Koleksi Pride mengandungi sembilan reka bentuk bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI