PETALING JAYA – Pisang merupakan buah yang penuh dengan manfaat kesihatan, tetapi tidak semua individu sesuai menikmatinya kerana risiko kesihatan tertentu.
Public Health Malaysia (PHM) dalam satu perkongsian mengatakan, terdapat beberapa golongan individu yang perlu berhati-hati atau mengelak daripada makan pisang kerana risiko kesihatan.
“Penghidap migrain tidak digalakkan makan pisang kerana ia mengandungi tiramin, iaitu sejenis bahan kimia yang boleh mencetuskan serangan migrain.
“Pesakit buah pinggang juga perlu berhati-hati dengan pengambilan pisang kerana kandungan potasium yang tinggi dalam pisang boleh ‘membebankan’ buah pinggang yang sudah lemah,” ujar PHM.
Sementara itu, pengambilan pisang masak secara berlebihan pula boleh membahayakan pesakit diabetes kerana mempunyai kandungan gula tinggi serta boleh menyebabkan ketidakselesaan bagi pesakit sindrom iritasi usus (IBS) seperti kembung dan rasa tidak selesa pada perut.
Terdapat juga sesetengah individu yang mengalami alergi terhadap pisang boleh menyebabkan reaksi alergi seperti ruam atau kesukaran bernafas.
Individu yang mengalami hiperkalemia, keadaan kadar potasium dalam darah terlalu tinggi juga perlu mengelakkan pengambilan pisang. -KOSMO! ONLINE