MARAN – Seorang guru penolong kanan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang sebelum dihanyutkan arus deras di tebing Jeti Chenor di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian pada pukul 6 petang itu berlaku ketika Murdani Ab Rahman, 53, bersama seorang rakannya pergi ke jeti Chenor untuk memancing.
“Berdasarkan laporan awal, mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus.
“Rakan mangsa cuba mendapatkan pertolongan daripada rakan-rakannya yang berada berdekatan lokasi kejadian untuk menyelamatkan penjawat awam itu namun tidak berjaya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kim Wai, pada pukul 7.30 malam operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan dan dihentikan dua jam kemudian atas faktor cuaca. Operasi disambung semula pada pukul 7.30 pagi ini. – KOSMO! ONLINE