KLUANG – Seorang remaja maut selepas motosikal milik pelanggan yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Kilometer 2.8, Jalan Kluang-Nyior di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, nahas berlaku ketika Yap Yu Hern, 18, menunggang motosikal Yamaha Y15ZR pada pukul 7.20 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika remaja itu dalam perjalanan dari arah Nyior menuju ke bandar Kluang.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu jalan. Mangsa yang parah di badan serta kepala dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom bagi mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, pada pukul 9 malam, pihak hospital mengesahkan remaja itu meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE