GOMBAK – Ibarat anak dengan bapa, penyanyi Ramlah Ram menganggap Allahyarham Tan Seri Ahmad Nawab sebagai tokoh paling bertanggungjawab yang melahirkan dan mencanai bakatnya sehingga berjaya menempa nama dalam industri.
Kongsi Ramlah, 59, pemergian komposer dengan ribuan karya itu merupakan kehilangan sangat besar bukan hanya untuk dunia muzik bahkan dirinya secara peribadi.
Bagi Ramlah, Allahyarham telah yang mengambil tugas menjaga dan mendidiknya seperti anak sendiri semasa mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Allahyarham ibarat bapa saya. Dia yang menjaga saya sejak awal penglibatan dalam industri. Bila berada di sini (di kediaman Ahmad Nawab), segalanya seakan-akan terimbas kembali memori lama kami.
“Saya rasa kehilangan yang sangat besar. Allahyarham seorang yang sangat bertanggungjawab.
“Semua tahu cara dia bekerja dan dia menjaga saya sebab sejak datang ke Kuala Lumpur, saya duduk berjauhan dengan keluarga,” katanya kepada Kosmo! Online semasa menziarahi jenazah di kediamannya malam tadi.
Dalam masa sama, pelantun lagu Sesaat Kau Datang itu berkongsi momen terindah bersama arwah ketika bekerjasama semasa menghasilkan lagu.
“Saya rindu momen bersama arwah terutama semasa merakamkan album bersamanya. Orang cakap dia garang tetapi bagi saya dia seorang yang kelakar dalam tegas.
“Kami rapat macam keluarga. Malah kami juga berkongsi masalah antara kami,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Ramlah terkilan tidak sempat menziarahi arwah sejak kesihatan pemuzik itu kurang baik.
“Saya tak tahu dia sakit sebab dia sangat privasi. Bila saya nak ziarah, dia tak izin. Saya hormati permintaanya waktu itu.
“Saya memang selalu teringat untuk berjumpa dengannya tetapi selalu tertangguh. Itu yang menyebabkan saya rasa menyesal dan terkilan sangat,” jelasnya.
Meledak dengan lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu ciptaan Ahmad Nawab, Ramlah juga menyifatkan penerbit album pertamanya Sabarlah Sayang itu sebagai komposer terunggul tanah air yang telah menzahirkan banyak karya agung sebagai khazanah seni negara.
“Dia memiliki sentuhan tersendiri yang tak sama dengan orang lain. Semua lagu-lagunya membekas di hati saya. Bagi saya semua hasil karyanya ada jiwa.
“Arwah sudah menghasilkan berbelas album untuk saya tentunya itu menjadi memori terindah buat diri saya,” ujarnya.
Ahmad Nawab meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves, pukul 3.15 petang Ahad akibat sesak nafas.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur – Karak (Taman Selasih) sekitar pukul 10.30 pagi esok. – KOSMO! ONLINE