LONDON – Liverpool terus berpaksikan kepada kualiti Mohamed Salah yang menyumbangkan dua gol untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Southampton di Stadium St Mary, sebentar tadi.
Bagaimanapun, tiga mata itu diraih dengan cara sukar dimana The Saints tampil dengan aksi bertenaga untuk cuba cipta kejutan ke atas The Reds yang tampil selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris.
Terdahulu, Liverpool mengharungi detik sukar dalam tempoh 25 minit pertama apabila Southampton membariskan lima pertahanan malah semua pemainnya turut ‘berkampung’ di kawasan sendiri setiap kali menerima asakan.
Minit ke-30, kesilapan Flynn Downes yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya mengundang padah dan kesempatan itu disempurnakan oleh Dominik Szoboszlai untuk meledak gol pertama perlawanan.
Selang tiga minit selepas itu, Downes berpeluang menebus kesilapannya sebaliknya penjaga gol lawan, Caoimhin Kelleher lebih pantas melakukan aksi penyelamat.
Minit ke-42, Kelleher sekali lagi cemerlang menafikan sepakan penalti Adam Armstrong namun penyerang Southampton itu nyata lebih pantas untuk melakukan tindakan susulan bagi memastikan jaringan penyamaan.
Cerita berbeza di babak kedua, menyaksikan giliran tuan rumah berada di depan menerusi Mateus Fernandes pada minit ke-56 namun kelebihan itu hanya bertahan sembilan minit apabila Salah sekali lagi menyerlahkan magisnya untuk menghasilkan gol kedua Liverpool.
Pemain gantian tuan rumah, Yukinari Sugawara menjadi individu paling kecewa apabila menghadiahkan penalti buat Liverpool dan kesempatan pada minit ke-83 itu tenang disempurnakan oleh Salah.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 31 mata, berkelebihan lapan mata berbanding pencabar terdekatnya, Manchester City di tangga kedua. – KOSMO! ONLINE