SEGAMAT – Cuaca tidak menentu ditambah dengan hujan sepanjang musim tengkujuh mengakibatkan sebahagian kubur di kawasan ini merekah dan mendap selain menyukarkan kerja-kerja membaik pulih ekoran keadaan tanah berselut.
Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat seorang penggali kubur, Md. Najib Teh, 54, untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada ahli kariah yang sentiasa mencarinya jika berlaku kematian di Kampung Berata, Jalan Temenggong di sini.
Katanya, walaupun terpaksa mengerah kudrat tambahan untuk menggali kubur dalam keadaan tanah berselut, kerja itu tetap diteruskan bersama empat pembantunya.
“Kubur di Tanah Perkuburan Islam di sini mula merekah dan mendap akibat hujan berterusan sejak seminggu lalu.
“Kami terpaksa berhujan dan bergelut dengan tanah selut apabila menggali kubur. Suasananya amat berbeza pada musim lain kerana ada kalanya lubang kubur kerap digenangi air hujan selain runtuhan tanah tebing lahad yang memakan masa untuk disiapkan,” katanya.
Md, Najib yang mempunyai 24 tahun pengalaman sebagai penggali kubur menambah, dia dan pembantunya mengambil lebih tiga jam berbanding dua jam sebelum ini untuk menyiapkan sebuah kubur.
Tambahnya, walaupun banyak halangan dia tetap melaksanakan tugasannya itu secara berlapang dada.
“Kematian yang berlaku bila-bila masa menuntut waris keluarga menghubungi saya pada waktu singkat untuk menyiapkan kubur, papan lahad atau keranda,” katanya.
Ujar Md. Najib, dia bersyukur kerana ada waris si mati memahami apabila dia menerangkan situasi keadaan liang lahad di musim tengkujuh ini sedikit sukar untuk dikerjakan.
Malah dia juga layak bergelar sebagai salah seorang daripada petugas barisan hadapan yang turut bermandi keringat memastikan pengkebumian jenazah dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa mengira cuaca panas atau hujan.
Tanah Perkuburan Islam Kampung Berata yang berkeluasan kira-kira 3.5 hektar itu yang mampu menempatkan 4,000 buah liang lahad telah wujud sejak tahun 1940-an.