DARI Sabah ke Nebraska, Amerika Syarikat (AS). Itulah yang dibuktikan oleh anak jati Tawau, Sabah ini dalam menyuarakan hak pendidikan di benua Amerika.
Dalam dunia yang semakin mencabar, memiliki kecemerlangan dalam aspek akademik sangat diperlukan bagi menggapai masa depan lebih cerah.
Pun begitu, akademik sahaja tidak mencukupi. Memiliki aura dan bakat kepimpinan turut menjadi kelebihan dan bonus tidak ternilai.
Kelebihan tersebut dimiliki oleh Winalda Basri Eko, seorang mahasiswi tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Pada Julai lalu, gadis berusia 22 tahun itu diberi peluang menyertai program Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) musim bunga 2024 di Universiti Nebraska, Omaha, AS.
Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan dirinya, malah seluruh rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Tawau.
“Sebagai anak jati Tawau, saya bersyukur dan berbangga kerana berjaya mewakili UTP serta Malaysia dalam mesyuarat ‘Douglas County of Nebraska’.
“Menerusi peluang itu, saya berkesempatan berkongsi pandangan mengenai aspirasi hidup saya.
“Dalam mesyuarat tersebut, saya telah menyuarakan sokongan terhadap hak pendidikan untuk semua, termasuk kanak-kanak tanpa dokumen kewarganegaraan yang sah.
“Saya percaya bahawa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pendidikan berkualiti adalah keperluan asas yang harus diakses oleh semua tanpa mengira status undang-undang,” katanya membuka bicara bersama iGen.
Winalda yang juga penerima Biasiswa Garuda berkata, pendidikan seharusnya boleh diakses oleh semua orang tidak kira status undang-undang sesebuah negara.
Pandangan Winalda dalam mesyuarat tersebut turut tular dalam media sosial, sekali gus mencerminkan komitmennya terhadap keadilan sosial dan hak asasi manusia.
“Saya tidak sangka ia boleh tular. Saya cuma suarakan pendapat mengikut kata hati mengenai keadilan dalam pendidikan.
“Bagi saya, setiap lapisan masyarakat berhak mendapat keadilan sosial dan hak asasi sebagai manusia, begitu juga dalam aspek pendidikan,” katanya yang aktif dalam kerja-kerja sukarelawan anjuran kampus.
Tambahnya, sebagai seorang pelajar dan pemimpin muda berwawasan, dia mahu menjadi contoh inspirasi kepada semua terutama anak muda untuk terus mengejar impian tanpa rasa gentar.
Pada masa sama, dia juga menyeru anak muda terutamanya wanita untuk berani tampil ke hadapan menyuarakan pendapat masing-masing dan mengecapi kejayaan tersendiri.