PETALING JAYA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah bekerjasama dengan LabBase untuk membantu graduan universiti berkenaan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajian masing-masing.
Timbalan Dekan Siswazah Fakulti Sains Teknologi UKM, Prof Madya Dr. Abdul Munir Ab. Murad berkata, melalui usaha sama tersebut, Lab Base bakal menjadi platform padanan kerja buat graduan Ijazah sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dengan lebih 700 syarikat berteknologi tinggi dari Jepun.
Menurut beliau, pihak universiti berbesar hati dengan kerjasama yang dimeterai antara dua pihak berkenaan akan memberi kelebihan kepada pelajar di Fakulti Sains dan Teknologi untuk meneroka satu peluang besar dengan menawarkan peluang pekerjaan atau penyelidikan syarikat-syarikat dari Jepun.
“Kerjasama ini bakal membantu lepasan graduan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajian.
“Buat masa sekarang, kita kekurangan syarikat penyelidik dalam sektor teknologi dan menyebabkan ramai pelajar terpaksa bekerja dalam industri berlainan daripada bidang.
“Kami berharap dapat membangunkan kepakaran dan membantu graduan universiti ini mendapatkan kerjaya sebagai penyelidik atau jurutera yang mana ia juga satu nilai tambah yang baik kepada graduan UKM” katanya pada sidang akhbar di Akademi Cyber Teknopolis, UKM.
Turut hadir Pengarah LabBase Asia, Koichi Miyazaki dan Penolong Pengurus Leave A Nest, Dr. Hadi Akbar Dahlan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LabBase, Michiaki Kamo berkata, platform ini telah ditubuhkan sejak lapan tahun lalu bertujuan untuk membantu graduan dalam bidang sains dan teknologi meneruskan kerjaya dalam bidang pengajian.
Dalam masa yang sama, ia juga akan dapat membantu syarikat berdaftar mencari penyelidik atau pekerja dalam bidang khusus.
“LabBase ditubuhkan sebagai perkhidmatan mencari pekerjaan yang membolehkan anda mendaftarkan kandungan dan kemahiran penyelidikan serta berhubung dengan lebih 700 syarikat-syarikat berdaftar di Jepun.
“UKM merupakan universiti pertama di Malaysia dalam menjalinkan kerjasama ini.
“Ini merupakan peluang buat graduan UKM mendapatkan peluang pekerjaan atau penyelidikan dengan syarikat dari Jepun. Sekali gus mereka akan dapat mengaplikasi pembelajaran atau penyelidikan yang dibuat di universiti.
“Walau bagaimanapun, platform ini hanya terhad kepada pelajar lepasan sarjana dan PhD sahaja,” tambah beliau.
Selain itu, Miyazaki menerangkan, LabBase berbeza daripada platform pencari kerja yang lain kerana ia bukan sahaja menawarkan pekerjaan malah para graduan juga boleh bertukar-tukar idea melalui penyelidikan yang dilakukan. -KOSMO! ONLINE