fbpx

Dron asing ceroboh pangkalan udara, Britain berjaga-jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAF Mildenhall di Suffolk. - Mike Page Aerial Photography

LONDON – Sekumpulan dron tidak dikenali dikesan terbang di atas tiga pangkalan udara Tentera Udara Diraja Britain (RAF) yang berasingan, demikian menurut pengesahan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) seperti laporan akhbar The Sun UK.

Insiden yang berlaku antara 20 hingga 22 November lalu itu menyaksikan sistem udara kecil tanpa pemandu (UAS) dikesan di atas pangkalan RAF Lakenheath dan RAF Mildenhall di Suffolk serta RAF Feltwell di Norfolk.

Tentera Udara AS yang mempunyai jet pejuang dalam keadaan bersiap siaga di pangkalan-pangkalan itu berkata, pada peringkat ini tidak jelas sama ada dron-dron tersebut dianggap ancaman.

“Kami boleh mengesahkan bahawa UAS dikesan di sekitar dan atas RAF Lakenheath, RAF Mildenhall dan RAF Feltwell antara 20 hingga 22 November.

“Bilangan UAS itu berubah-ubah dan ia berbeza dalam saiz dan konfigurasi.

“Ia dipantau secara aktif dan ketua-ketua pemasangan menentukan bahawa tiada satu pun pencerobohan tersebut menjejaskan anggota pangkalan atau infrastruktur kritikal,” kata jurucakap Tentera Udara AS di Eropah.

Satu laporan yang tidak disahkan mencadangkan bahawa jet pejuang F-15E Strike Eagles dikerahkan untuk mengejar dron-dron yang menjejaskan operasi penerbangan di pangkalan berkenaan.

Tentera Udara AS enggan mengulas mengenai dakwaan itu tetapi berkata, ia mempunyai hak untuk melindungi kemudahan tersebut.

RAF Lakenheath ialah kemudahan ketenteraan kritikal yang menyimpan satu-satunya sayap jet pejuang generasi keempat dan kelima AS di Eropah, selain menempatkan jet taktikal F-35A dan F-15E, lapor laman web tentera The War Zone.

Kemudahan tersebut dikendalikan oleh Tentera Udara AS di bawah peraturan dan undang-undang Britain selama beberapa dekad, manakala perjanjian itu membolehkan Washington menempatkan senjata nuklearnya yang boleh digunakan oleh jet pejuang F-35.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Britain berkata: “Kami mengambil serius ancaman itu dan mengekalkan langkah tegas di tapak-tapak pertahanan termasuk keupayaan keselamatan tindak balas dron.”

Namun tambahnya, kerajaan tidak akan mengulas lanjut mengenai prosedur keselamatan berkenaan.

Insiden itu berlaku selepas Presiden Vladimir Putin minggu lalu mengeluarkan ancaman baharu terhadap Barat selepas Ukraine melancarkan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke wilayah Russia.

Dalam ucapan yang disiarkan di kaca televisyen pada Khamis lalu, Putin berkata, kemudahan ketenteraan di Britain dan AS boleh menjadi sasaran yang sah untuk tentera Russia.

Ia akan dilakukan sebagai tindak balas langsung terhadap penggunaan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) buatan AS dan peluru berpandu Britain, Storm Shadow yang dibekalkan kepada Ukraine.

“Russia berhak menggunakan senjata terhadap kemudahan ketenteraan milik negara yang membenarkan penggunaan senjata mereka terhadap kami.

“Selepas detik ini, seperti yang telah kami tegaskan berulang kali, konflik di Ukraine yang dicetuskan oleh Barat, telah mencetuskan unsur-unsur bersifat global,” ujar Putin. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI