ABU DHABI – Juara Terbuka Australia, Sofia Kenin dan pemain pilihan kedua, Elina Svitolina tersingkir daripada saingan Terbuka Abu Dhabi selepas terkandas di saingan suku akhir awal pagi semalam.
Pemain ranking No.4 dunia, Kenin tewas di tangan pemain pilihan kesembilan, Maria Sakkari dengan keputusan 2-6, 6-2, 6-0 sementara Svitolina tumbang di tangan pemain bukan pilihan, Veronika Kudermetova 5-7, 6-3, 7-6 (7-3).
“Menewaskan pemain terbaik minggu ini sangat bermakna buat saya. Saya bermain dengan baik ketika saya berjaya mengatasi Garbine Muguruza sebelum ini.
“Saya yakin jika mengekalkan permainan terbaik seperti ini tidak mustahil saya mampu melangkah ke pentas final. Saya akui kemenangan pada hari ini menyuntik semangat saya untuk pergi lebih jauh,” kata Sakkari.
Hasil kemenangan tersebut Sakkari akan berdepan pemain pilihan keempat, Aryna Sabalenka yang tampil cemerlang menumbangkan Elena Rybakina 6-4, 4-6, 6-3.
Musim lalu, Sabalenka berjaya meraih gelaran di Terbuka Ostrava dan Terbuka Linz. Kemenangan di Abu Dhabi merupakan permulaan terbaik buatnya sebelum menghadapi Terbuka Australia nanti.
“Saya akui Terbuka Australia bukan mudah dan saya harap permulaan terbaik di Abu Dhabi dapat melonjakkan semangat serta prestasi pada tahap tertinggi,” ujarnya.
– AGENSI