PETALING JAYA – Hujan yang sangat lebat dan berterusan diramalkan berlaku di Semenanjung dan Sabah bermula esok sehingga Jumaat ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata, ia berikutan luruan monsun dijangka berlanjutan sehingga hujung November 2024 dan diramal menjadi lebih kuat dalam tempoh berkenaan.
“MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan (waspada) melibatkan Semenanjung dan Sabah yang berkuat kuasa sehingga 29 November 2024.
“Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora telah dikemas kini bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 29 November 2024,” tambahnya menerusi kenyataan.
Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE