KUALA LUMPUR – Hasrat beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk melakar sejarah tersendiri tidak tertunai apabila muncul naib juara pada Kejohanan Badminton China Masters.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Shenzhen Arena sebentar tadi, pasangan No.23 dunia itu tewas 23-21, 23-25, 16-21 kepada beregu tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam tempoh lebih sejam.
Meskipun tidak dapat membawa pulang gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia sejak digandingkan November tahun lalu, namun Pang Ron-Su Yin wajar berbangga kerana sudah memberikan tentangan sengit kepada beregu No.2 dunia berkenaan.
Turun sebagai pemain bukan pilihan, Pang Ron-Su Yin tidak berdepan tugas mudah apabila bukan sahaja menentang pasangan tersebut, malah perlu bersemuka dengan penyokong-penyokong tuan rumah.
Pasangan negara bermula dengan langkah kanan apabila mendahului set pertama 13-9 sebelum China kembali menyamakan kedudukan 16-16, namun tidak mampu menghalang Pang Ron-Su Yin mencatat kemenangan 23-21.
Memasuki set kedua, Yan Zhe-Dong Ping kembali memperkemaskan permainan dan berjaya meletakkan kedudukan mereka dalam keadaan selesa 11-6 sebelum menamatkan permainan 25-23 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bersambung set ketiga, China yang meraih keyakinan baharu menampilkan aksi lebih kemas dan berjaya mendahului 11-7 sebelum Pang Ron-Su Yin cuba mengejar dan merapatkan kedudukan 13-15.
Bagaimanapun, Yan Zhe-Dong Ping yang menerima sokongan padu penyokong sendiri kekal fokus dengan permainan masing-masing sebelum melengkapkan kemenangan 21-16 untuk bergelar juara.
Selaku naib juara, Pang Ron-Su Yin berpuas hati dengan hadiah wang tunai AS$40,250 (RM179,834) berserta trofi manakala Yan Zhe-Dong Ping membawa pulang AS$85,100 (RM380,221) dan juga trofi. – KOSMO! ONLINE