PETALING JAYA – Legenda ragbi New Zealand All Black, Sonny Bill Williams dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November lalu.
AIU dalam kenyataan berkata, majlis prasmian pelantikan itu dijadualkan berlangsung pada 10 Disember depan.
“AIU percaya Sonny Bill Williams mempunyai Nilai Teras 5A Universiti dan Peraturan 8 Jam yang membimbing amalan di AIU bagi mengejar kecemerlangan.
“Perjalanannya yang luar biasa, di dalam dan di luar padang, mencerminkan keazaman dan komitmen untuk berkhidmat serta memberi inspirasi kepada jutaan pengikutnya di seluruh dunia,” katanya hari ini.
Menurut AIU, sebagai Pro-Canselor, Sonny akan memainkan peranan penting dalam misi dan visi AIU untuk memupuk graduan yang berdaya saing di peringkat global.
“Kehadirannya di AIU akan memberi inspirasi kepada pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam kedua-dua perjalanan peribadi dan profesional mereka.
“Kami yakin pelantikannya akan meningkatkan sumbangan AIU kepada projek yang memberi impak sosial dan melonjakkan universiti ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.
Sonny merupakan ikon sukan yang sentiasa menyokong kesaksamaan sosial selain berjaya membina kerjaya yang luar biasa dan reputasi cemerlang di pentas global.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gunaan (Pengurusan Sukan) dengan Cemerlang dari Politeknik Otago, New Zealand.
“Sonny bukan sahaja terkenal kerana kerjaya sukannya yang cemerlang tetapi juga kerana dedikasinya terhadap tujuan kemanusiaan, integrasi budaya, dan pemerkasaan belia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE