SUBANG JAYA – Seorang lelaki diburu polis selepas dipercayai melarikan seutas jam tangan berjenama bernilai RM64,000 dari sebuah kedai menjual barangan berjenama di SS 16 Subang Jaya, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi.
Katanya, ketika kejadian, pengadu wanita tempatan bersama rakan kerjanya didatangi suspek lelaki yang menyamar sebagai pelanggan.
“Suspek mengatakan telah membuat temujanji melalui mesej di samping, bertanyakan beberapa soalan mengenai barangan yang dijual.
“Tidak lama kemudian, suspek bergegas keluar dari kedai dan maklum mahu mengambil majikannya di tingkat bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek telah menunggu di hadapan sebelum kedai beroperasi.
“Lebih kurang pukul 2.14 petang, pengadu dimaklumkan oleh rakan kerja bahawa jam tangan tersebut telah hilang dicuri.
“Suspek telah mencuri seutas jam tangan jenama Rolex bernilai RM64,000 dan terus melarikan diri,” ujarnya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan mencuri di dalam bangunan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi 03-78627222
(Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman
Ampandi di talian 011-29395178,” pesannya. -KOSMO! ONLINE.