KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal maut dalam nahas disebabkan lori yang tiba-tiba mengundur di Jalan Kerinchi dari arah Jalan Pantai Dalam menghala Jalan Pantai Baru, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan motosikal Modenas Kriss, lori dan kereta Honda Jazz, pada 8.34 pagi.
Katanya, penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 32 tahun meninggal dunia di lokasi kemalangan.
“Pemandu lori, lelaki tempatan, 32, yang sudah berada dalam kawasan tapak pembinaan untuk mengisi minyak brek.
“Semasa proses mengisi minyak brek, tiba-tiba lori bergerak secara mengundur dengan sendiri lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan utama lalu melanggar motosikal yang hilang kawalan kerana mengelak lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, mangsa telah terjatuh lalu terperoosok bawah tayar bahagian belakang sebelah kanan.
“Penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan. Pemandu kereta yang melalui jalan utama itu turut terlibat dalam kemalangan dan luka pada dahi,” jelasnya.
Susulan kejadian itu, pihaknya bertindak menahan pemandu lori pada hari sama untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Terdahulu, video berdurasi 16 saat yang memaparkan lori kejadian nahas itu tular di media sosial.
Menerusi video itu, seorang penunggang dilihat gagal terperosok bawah lori selepas gagal mengawal motosikalnya.
Difahamkan, penunggang itu merupakan seorang bapa kepada tiga cahaya mata.
Lori itu turut melanggar sebuah kereta di laluan bersebelahan. -KOSMO! ONLINE